Friday, June 18, 2010

Suami wajar bantu urusan rumah tangga

Ketua keluarga perlu kikis sikap ego, ringankan tugas isteri demi keharmonian keluarga

ALAM rumah tangga tidak boleh dianggap remeh oleh setiap pasangan. Mungkin sebelum berkahwin, setiap individu hanya memikirkan tanggungjawab pada diri sendiri, namun senario itu secara automatik akan berubah selepas mereka mendirikan rumah tangga.
Bagi menjamin keharmonian rumah tangga, sikap saling bantu membantu amat dituntut pada setiap pasangan tidak kira sama ada mereka baru mendirikan rumah tangga atau yang sudah lama menjalani kehidupan bersama.


Mungkin dianggap remeh apabila dikatakan bahawa ada segelintir suami yang menyerahkan semua urusan rumah tangga kepada isteri termasuk menjaga anak, namun senario itulah yang sering berlaku dalam masyarakat kita. Malah, ada lelaki yang tidak pernah menguruskan hal anak seperti menukar lampin bayi, memandikan dan memberikan makan kepada si kecil.
Pensyarah Pusat Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Noor Awang Hamad, berkata sebagai suami yang baik mereka wajib menolong isteri dalam melancarkan perjalanan urusan rumah tangga.

“Hal itu bukanlah perkara baru bagi pasangan suami isteri kerana Nabi Muhammad sendiri membantu isteri Baginda dalam hal ehwal rumah tangga dan anak. Sebagai orang Islam kita harus mencontohi Baginda sebagai model suami sepanjang zaman bagi memastikan mahligai yang dibina bahagia dan berkekalan.

“Dalam hadis nabi ada menyebut ‘Aku adalah sebaik-baik suami yang berbuat baik kepada ahli keluargaku dan contohilah aku’ dan setiap suami harus mengambil pengertian hadis itu sebagai panduan dalam mengemudi perjalanan mahligai yang dibina,” katanya.

Beliau berkata, walaupun Rasulullah sentiasa sibuk menjalankan tugas sebagai Rasul, Imam Ummah, pemimpin negara, ketua hakim dan panglima agung angkatan bersenjata, Baginda masih dapat meluangkan masanya membantu kerja rumah isterinya seperti menjahit pakaian dan membaiki kasut.

“Sebaliknya yang terjadi sekarang ini, ada juga mentaliti segelintir suami menganggap selepas berkahwin, urusan rumah tangga dan anak adalah tanggungjawab isteri sepenuhnya kerana menganggap tugas suami sebagai ketua keluarga tidak perlu melakukan kerja berkenaan.
“Pemikiran sebeginilah yang harus dikikis bagi setiap lelaki sama ada yang sudah berkahwin atau bakal mendirikan rumah tangga,” katanya.

Beliau berkata, sebagai ketua keluarga, suami harus menjadi pemimpin dan pelindung kepada isteri dan anak bukannya menjadi pemimpin yang hanya tahu memberi arahan semata-mata.
Katanya, bukan alasan suami tidak boleh membantu isteri dalam urusan rumah tangga terutama menjaga anak kecil kerana pada masa ini ada agensi tertentu yang menawarkan latihan kepada ibu bapa untuk menjaga anak terutama bayi.

“Tambahan pula sekarang ini ramai pasangan yang kedua-duanya bekerja dan tidak salah sekiranya masing-masing membantu dalam menguruskan anak. Bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, katanya.

Beliau berkata, lazimnya tiada persefahaman dalam rumah tangga yang akhirnya menimbulkan perceraian berlaku kerana pasangan tidak memahami maksud perkahwinan itu sendiri, iaitu percantuman dua insan berlainan latar belakang yang memerlukan pemahaman yang cukup jelas mengenai tanggungjawab suami dan isteri.

Katanya, suami boleh dianggap zalim apabila duduk bersenang-lenang sedangkan isteri dibiar melakukan kerja rumah tanpa henti dan sentiasa dikelilingi anak-anak. Perlu diingat setiap bantuan yang dihulurkan suami amat dihargai oleh isteri dan itu menjadikan isteri lebih menghormati suami.
“Walaupun kita tahu lelaki sememangnya mempunyai ego yang tinggi tetapi dalam rumah tangga sikap ego itu perlu dikurangkan dengan membantu isteri menguruskan anak dan keluarga. Tidak salah sekiranya suami menukar lampin atau membuat susu untuk anak kerana itu dapat mengeratkan hubungan kasih sayang antara suami isteri,” katanya.

Begitupun, katanya, jika suami enggan membantu menguruskan rumah tangga, isteri haruslah bijak untuk memainkan peranan dengan menegur sikap suami dengan cara baik dan lembut.
Tindakan itu bertepatan dengan peranan isteri sebagai penasihat dalam rumah tangga yang dapat memastikan keharmonian keluarga.


“Sekiranya isteri ingin menegur suami, mereka haruslah memilih waktu dan masa yang sesuai seperti ketika hendak tidur atau waktu istirehat pada waktu petang kerana pada waktu itulah suami biasanya berfikiran tenang dan terbuka”, katanya.

Selain itu, isteri perlu bijak menggunakan pendekatan psikologi dalam menegur sikap suami. Andainya suami menolong isteri dalam melakukan urusan rumah tangga dan anak, ucapan terima kasih perlu sentiasa meniti di bibir isteri supaya si suami berasa dirinya dihargai.

“Sikap tolak ansur, persefahaman dan saling mempercayai antara pasangan harus ada bagi mengelakkan pergolakan rumah tangga berlaku. Tolong menolong adalah jalan yang paling mudah untuk mengeratkan hubungan kasih sayang suami isteri,” katanya.

INFO
Panduan menjadi suami penyayang




  • Sentiasa menjadi teman setia isteri pada waktu suka dan duka.




  • Pendengar setia dalam apa jua masalah isteri dan anak.




  • Menjadi penghibur dalam rumah tangga.




  • Membantu dalam urusan rumah tangga dan anak.





  • Menghormati isteri.



  • Menerima baik buruk sikap isteri.




  • Penyabar.




  • Sumber dari :  aferiza

    2 comments:

    Thanks for this Comments....Have A Nice Day To All Of You.

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...