Tuesday, January 26, 2010

Permata Hati: Masalah bayi muntah

Sumber: Berita Harian 26 January 2010
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


Ketahui perkara babitkan penyusuan elak si kecil keluarkan ‘isi perut’

"SELEPAS menyusu, bayi seharusnya disendawakan. Sekiranya menyusu badan, perbuatan itu tidak perlu dilakukan, lantaran proses penyusuan itu sendiri sudah sempurna, tetapi sekiranya menyusu botol, bayi mesti disendawakan."

Kata-kata ini saya petik daripada buku mengenai penyusuan bayi. Ketika berpantang anak sulung, saya tidaklah menyedawakan bayi kerana ‘nasihat’ itu, dan membiarkan si kecil terus tidur lena. Tetapi dalam satu insiden mengejutkan, menyebabkan saya tetap menyedawakan bayi walaupun memberikan susu badan.

Ceritanya berlaku ketika melahirkan anak sulung. Selepas tamat tempoh cuti dua bulan dan pulang dari tempat kerja, anak saya begitu teruja untuk menyusu dan apabila kenyang, Najah tidak terus tidur sebaliknya nampak seperti tercungap-cungap.

Saya agak terkejut memikirkan mungkin dia tidak boleh bernafas. Saya lihat perutnya juga seakan-akan menggelodak, naik dan turun. Apabila saya cuba mengangkat dan ingin mendakapnya, tiba-tiba bersemburlah segala susu yang diberikan tadi. Jumlah muntah itu agak banyak, hingga basah baju dan lantai bilik. Malah muntah itu kelihatan segar dan tidak berbau, dengan kata mudah, belum diproses dalam perut.

Merujuk orang tua-tua, mereka selalu gelarkan sebagai susu badan itu sudah basi. Tetapi daripada istilah perubatan ia adalah keadaan ‘gastroesophageal reflux’. Ia tidak sama dengan muntah biasa yang berbau. 

Muntah susu adalah masalah yang sangat kerap terjadi di kalangan bayi iaitu lebih 30 peratus di kalangan bayi berusia kurang setahun.

Tetapi sekiranya muntah berkenaan terlalu kerap, hingga menyebabkan bayi nampak lemah dan kekeringan, mungkin si kecil ada mengalami masalah kesihatan lain, apatah lagi sekiranya dalam keadaan suhu badannya yang agak tinggi.

Tanda-tanda bayi anda mengalami kekeringan atau kekurangan cecair badan termasuklah lampinnya berada dalam keadaan kering, keadaan kulit yang tidak bertenaga atau keadaan dalam mulut seperti keputih-putihan.

Sekiranya berlaku keadaan sebegini, berterusan dan berat badannya tidak menunjukkan peningkatan, anda perlu merujuknya ke hospital.
Muntah terjadi kerana susu dalam perut termasuk balik ke dalam salur esofagus atau saluran yang menyambungkan perut dan mulut. Bagi bayi yang lebih berusia, terdapat otot pada pangkal esofagus ini yang menghalang makanan daripada perut masuk balik ke esofagus yang berfungsi seperti penutup satu hala atau 'valve'.

Bagaimanapun ‘valve’ ini tidak betul-betul berfungsi sehinggalah bayi berusia setahun ke atas. Tanda-tanda berlakunya keadaan ini ialah ia keluar secara banyak atau membuak-buak dan selalunya tidak lama selepas proses menyusu berlaku atau pun serentak ketika masih berada di dada ibu.

Bererti apa yang saya baca itu kurang tepat. Lantas saya memutuskan untuk terus menyedawakan si kecil setiap kali menyusu. Menyusu pula tidak boleh terlalu lama, mungkin sekitar 20 minit saja sebelum berhenti, dan diberikan jarak antara penyusuan selepas muntah itu kira-kira dua jam kerana perut mengambil masa untuk kosong semula. Mengelakkan muntah, bayi harus disusukan dalam keadaan kepala lebih tinggi.

Bagaimanapun kurang kebersihan turut mempengaruhi bayi muntah, iaitu antara cara biologi manusia membuang ‘racun’ di dalam tubuh. Sekiranya memberikan susu formula, ibu seharusnya mematuhi arahan yang tertera pada tin dengan teliti.

Terdapat tarikh luput pada susu formula berkenaan. Jangan guna selepas tarikh itu kerana ia tidak lagi selamat digunakan. Basuh dengan cermat botol susu plastik atau kaca termasuk juga alatan yang digunakan untuk menyediakan susu. Kalau boleh, gunakan air panas yang bersabun dan basuh dengan air paip yang bersih. Kemudian rebus selama lima minit dalam periuk khas atau sterilizer.

Sementara untuk menyediakan susu formula, panaskan air selama kira-kira lima minit sebelum sejukkan ia sebelum dicampur bersama susu tepung. Panaskan susu dengan meletakkannya dalam air panas. Jangan panaskan dengan menggunakan ketuhar gelombang mikro kerana susu boleh menjadi terlalu panas.

Memastikan ia sesuai dengan keadaan bayi anda, titiskan beberapa titik susu pada pergelangan tangan, sekiranya ia suam, ia sesuai untuk diberikan kepada bayi.

Ketika memberi susu, pastikan kepala bayi sedikit tinggi daripada badannya dan apabila memegang botol, pastikan bahagian puting penuh dengan susu supaya bayi tidak menelan terlalu banyak udara yang boleh menyebabkan ia muntah.

Saya selalu mengingatkan diri ketika menyusukan bayi, ia masanya untuk mengenali si kecil. Kadangkala muntah atau tidak berselera, ia sebenarnya tempoh anda mengenali dirinya. Selamat memanjakan bayi anda.

 
INFO: Panduan kurangkan muntah susu
  • Bayi selalunya tidak begitu faham istilah kenyang dan akan menyusu selagi termampu dan sampai termuntah. Sebagai ibu anda perlu bijak ‘mengagak-agak’ bila seharusnya bayi anda kenyang.

  • Sekiranya sambil menyusu bayi anda tertidur, dan bagi mengelakkan si kecil terjaga, anda boleh tidak menyendawakan, tetapi pastikan ia tidur dalam keadaan ada bantal di bawah kepala dan mengiring ke kanan.

  • Apabila mendakap bayi dan menepuk lembut pada bahagian belakang tubuhnya dan bayi mengeluarkan bunyi ‘burb’ bermakna dia sudah sendawa dan susu selamat masuk ke dalam bahagian perutnya. Kemungkinan muntah semakin berkurangan.

  • Memakai bengkung, lampin atau barut pada tubuh bayi dengan agak ketat, khususnya pada bahagian perut boleh menyebabkan muntah kerana bahagian perut itu tertekan, justeru elakkan terlalu ketat.

4 comments:

  1. Thanks for the info.. Saya tengah risau skang ni,sebab baby asik muntah. FYI, saya fully breastfeed baby. Tak campo formula...
    Kadang-kadang,dia macam tersedak bila nak keluarkan muntah. Sampai muntah kot hidung.. Bila tanya-tanya, diorang kata jeluak susu. Tapi risau la,sebab nampak dia macam tak lena tidur bila nak muntah tu..
    Kadang-kadang keluar balik susu immediately after menyusu...
    Risau betol... :(

    ReplyDelete
  2. Sama lah ina pun risau..nie dah hari ke 11 bpntang..dah 2 hari baby muntah..tapi alhamdulilah semlm timbang berat dah 4 kilo dri 3.6kilo.. Cuma risau time muntah..dia xlena tido..nak ckp perut angin xjugak..

    ReplyDelete
  3. Bagusnyaaa post ni. Tq for sharing.. Panduan yg kat bawah tu lain dari yg lain n sgt helpful. Suka2!! Thanks again

    ReplyDelete

Thanks for this Comments....Have A Nice Day To All Of You.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...